3 pembekal ayam tak sembelih disaman
Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar
KUALA LUMPUR: Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Zainuddin Md Zin, semalam memfailkan kira-kira RM5 juta terhadap tiga pembekal dan penjual ayam, termasuk Tesco Stores (Malaya) Sdn Bhd kerana menjual ayam yang tidak disembelih.
Zainuddin, 55, menamakan Perak Duck Food Industries Sdn Bhd, CKL Marketing Sdn Bhd dan Tesco sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga dalam saman yang difailkan menerusi Tetuan M K Othman & Co di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Jalan Duta, di sini.
Beliau dalam tuntutannya memohon ganti rugi khas, termasuk kos pembelian ayam, kos perbelanjaan makan dan minum bagi pertemuannya dengan wakil dari Perak Duck Food Industries Sdn Bhd dan kos bagi menghadiri pemeriksaan di Bahagian Hab Halal Jabatan Agama Islam
Selain itu, beliau juga menuntut menghadiri pemeriksaan di Persatuan Pengguna Islam (PPIM) di Keramat di sini dan kos untuk menghadiri pemeriksaan di Jabatan Agama Islam Perak di Ipoh yang semuanya bernilai RM1,375.77.
Zainuddin juga memohon defendan untuk membayar ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang bernilai RM5 juta kerana defendan pertama dan kedua berlaku khianat dengan membekalkan makanan berlogo halal kepada semua umat Islam.
Di samping itu, beliau turut memohon mahkamah untuk menghalang ketiga-tiga defendan untuk menjual, mengedar, memasar atau menyebabkan produk itu berada di pasaran.